Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Aedy Fadly Ramli. Foto fail Bernama

Mangsa banjir tidak perlu ganti lesen, geran hilang atau rosak – JPJ

ByBernama

ALOR GAJAH, 6 Dis: Mangsa terjejas banjir yang mengalami masalah geran kenderaan atau Lesen Kenderaan Motor (LKM) hilang atau rosak tidak perlu membuat penggantian dokumen berkenaan, kata Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Aedy Fadly Ramli.

Beliau berkata semua dokumen terbabit boleh diakses dalam aplikasi MyJPJ selaras dengan peralihan perkhidmatan JPJ ke arah pendigitalan sepenuhnya pada masa hadapan.

“Rakyat terkesan bencana banjir tidak perlu risau sekiranya lesen LKM, geran atau dokumen kenderaan hilang atau rosak kerana maklumat mengenainya terdapat dalam aplikasi MyJPJ. Pengguna boleh gunakannya manakala pihak berkuasa pula boleh mengakses melaluinya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Cawangan JPJ Masjid Tanah di Bangunan Tabung Haji yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata pembukaan cawangan baharu JPJ Masjid Tanah membantu mengurangkan antara 10 hingga 20 peratus kesesakan pelanggan yang berurusan di JPJ Bukit Katil sekali gus memberikan akses lebih mudah kepada penduduk sekitar Alor Gajah dan Masjid Tanah.

Beliau berkata sebelum ini pihaknya telah menempatkan JPJ Mobile di kawasan sama untuk menawarkan perkhidmatan kepada penduduk selama setahun sebagai tempoh percubaan bermula 23 Oktober tahun lepas.

Aedy Fadly berkata dalam tempoh berkenaan, hampir 10,000 pelanggan direkodkan berurusan di JPJ Mobile dengan hasil kutipan lebih RM2.5 juta melibatkan 26,338 transaksi.

Sebelum ini, JPJ Mobile hanya menawarkan lima perkhidmatan iaitu pembaharuan lesen memandu, lesen vokasional, pendaftaran MyJPJ dan eID, semakan atau pembayaran saman JPJ serta pemeriksaan motosikal bagi cukai jalan tamat tempoh lebih tiga tahun.

Namun, menerusi cawangan baharu itu sebanyak 24 perkhidmatan disediakan.

Beliau berkata kos ubah suai pejabat cawangan JPJ Masjid Tanah berjumlah RM200,000 dibiayai Pejabat Pembangunan Negeri Melaka dan projek itu mula dilaksanakan pada 14 Ogos tahun ini dan siap sepenuhnya 28 Oktober. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan