KUCHING, 9 Dis: Kuching Blockchain Technology Association (KBTA) melakar langkah penting ke arah memajukan ekosistem rantaian blok di Sarawak menerusi majlis prapelancaran penubuhannya pada 3 Disember 2024.
Acara yang berlangsung di Metadise Sdn Bhd itu menghimpunkan pelbagai profesional industri, peminat teknologi dan pemimpin pemikiran bagi membincangkan potensi besar teknologi rantaian blok dalam mendepani cabaran ekonomi masa kini.
Menurut Presiden KBTA, James Gan, KBTA ditubuhkan dengan visi untuk menjadikan Kuching sebagai pusat inovasi rantaian blok utama di Malaysia.
“Kuching Blockchain Technology Association diwujudkan sebagai platform untuk memupuk kolaborasi dan inovasi dalam teknologi rantaian blok.
“Kami teruja untuk memimpin usaha ini dalam membentuk Kuching yang lebih bijak, lebih terhubung, dan lebih berdaya tahan serta memperkasa komuniti tempatan dengan alat, serta pengetahuan untuk berjaya dalam era Web3,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Majlis itu turut menampilkan sesi panel perbincangan yang dikendalikan Dylan Ang dari Metadise.io dengan kehadiran panelis termasuk James Gan dari UKISS Hardware Wallet, Afiq Fadhli Narawi dari Persatuan Esukan Sarawak dan Abdul Mustaqim dari Synergy Optima Sdn Bhd.
Perbincangan itu mengupas isu-isu berkaitan landskap semasa teknologi rantaian blok, potensi penggunaannya, serta strategi untuk menggalakkan inovasi dan pertumbuhan.
KBTA bukan sahaja menumpukan kepada kolaborasi dalam kalangan profesional dan usahawan tetapi juga memperjuangkan pendidikan teknologi blockchain melalui pelbagai inisiatif seperti bengkel dan program latihan.
Persatuan ini turut bekerjasama dengan institusi akademik untuk memacu penyelidikan dan pembangunan aplikasi baharu yang mampu memberi manfaat kepada komuniti tempatan.
Untuk rekod, Kuching Blockchain Technology Association (KBTA) ialah organisasi bukan untung yang komited memajukan teknologi rantaian blok di Sarawak yang memfokuskan kepada pendidikan, inovasi, dan kerjasama dalam usaha menjadikan Kuching hab teknologi rantaian blok bertaraf dunia. – TVS