PUTRAJAYA, 6 Dis: Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media Malaysia akan dibentangkan di Dewan Rakyat minggu depan setelah diluluskan oleh Jemaah Menteri pada Mesyuarat Kabinet hari ini.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, RUU itu akan dibentangkan untuk bacaan kali pertama, minggu depan dan akan dibahas serta dibuat bacaan kedua pada mesyuarat kali ini.
“Saya harap ini menjadi satu berita yang baik untuk rakan-rakan media iaitu RUU Majlis Media Malaysia telah diluluskan oleh Jemaah Menteri untuk dibawa ke Parlimen.
“Kita akan bentangkan dalam Dewan Rakyat minggu depan,” katanya pada sidang media mingguan Kerajaan Perpaduan di Kementerian Komunikasi, di sini, hari ini.
Sebelum ini, RUU itu mengalami kelewatan pembentangan susulan terdapat permohonan daripada Malaysian Productivity Council (MPC) yang meminta agar ia melalui proses Analisis Impak Peraturan (RIA).
RUU itu berfungsi membangunkan dan melaksanakan kod etika pelaporan,memperkasakan profesion kewartawanan negara serta memastikan pelaporan berita dilakukan oleh media secara bertanggungjawab. – TVS