KUCHING, 6 Dis: Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Amar Dr Sim Kui Hian mengakui partinya bekerjasama rapat dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lintang, See Chee How yang kini tidak menyertai mana-mana parti politik.
Dr Sim berkata demikian ketika menjawab spekulasi tentang Chee How yang dikatakan akan mendaftar sebagai ahli SUPP tidak lama lagi.
“Beliau (Chee How) bukan ahli SUPP, namun pada masa ini kita bekerjasama rapat dengan beliau kerana kita tidak mahu rakyat di DUN Batu Lintang ketinggalan dalam menikmati kemajuan pembangunan.
“Kami telah menjalinkan kerjasama dan apa yang boleh saya katakan setakat ini kami berpuas hati dengan hubungan kerja ini,” katanya.
Dr Sim yang juga Timbalan Premier Sarawak berkata demikian ketika ditemui pada majlis ‘A Beary Joyful Christmas Tour’ di pusat membeli-belah The Spring, Kuching, di sini hari ini.

Spekulasi berkenaan timbul setelah gambar pimpinan SUPP dan Chee How bersama Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dikongsi di Facebook Dr Sim pada November lepas.