KUCHING, 5 Dis: Seorang wanita cedera di bahagian kaki kanan, patah kaki dan tangan kiri dalam kemalangan dua kenderaan di Jalan Camar di sini, hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu jam 5.42 petang dengan menggerakkan 11 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya ke lokasi kejadian.
“Kemalangan melibatkan pikap dan kereta Perodua Axia. Terdapat seorang mangsa perempuan berusia 36 tahun tersepit dalam Perodua Axia” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, mangsa di dalam pikap hanya cedera ringan dan dihantar orang awam ke hospital sebelum pihak bomba sampai di lokasi.
“Pihak bomba bertindak mengeluarkan mangsa tersepit menggunakan peralatan khas.
“Selepas berjaya dikeluarkan mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya. – TVS