PHNOM PENH, 5 Dis: Regional Islamic Da’wah Council of Southeast Asia and the Pacific (RISEAP) memainkan peranan penting dalam memperkasakan komuniti Islam minoriti di 24 negara anggota di rantau Asia Tenggara dan Pasifik.
Setiausaha Kehormat RISEAP Dato Mohamad Marzuki Mohamad Omar berkata prinsip utama organisasi ini adalah memberikan bimbingan kepada komuniti Islam minoriti agar mereka dapat membina kehidupan yang mantap dan bermaruah.
Katanya salah satu fokus utama RISEAP ialah untuk memastikan kebebasan kewangan dengan menyediakan platform kerjasama strategik, khususnya dalam bidang pembangunan ekonomi dan kewangan.
“Tujuan utama Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg datang ke Kemboja ialah untuk melihat dengan sendiri bagaimana kehidupan masyarakat umat Islam di Kemboja.
“Islam telah lama bertapak di negara ini (Kemboja) dan pada umumnya mempunyai lebih 700,000 umat Islam.
“Dengan itu kita yakin dan percaya bahawa dengan adanya kerjasama yang rapat antara Malaysia khususnya Sarawak dengan kerajaan Kemboja kita yakin kita akan mendapat satu persetujuan ataupun satu matlamat yang kita yakin akan dapat tercapai bersama,” katanya ketika ditemui TVS di Phnom Penh, Kemboja pada Khamis.
Mohamad Marzuki menegaskan, RISEAP kekal komited dalam misinya untuk menyokong umat Islam minoriti melalui pelbagai program dan inisiatif yang bertujuan meningkatkan taraf hidup mereka.
“Melalui usaha ini, RISEAP bukan sahaja berperanan memperjuangkan hak umat Islam tetapi juga mewujudkan impak positif kepada masyarakat global,” ujarnya.