KUCHING, 5 Dis: Jawatankuasa Pemandu Agensi Pembangunan Bahagian Sri Aman (SADA) meluluskan sembilan projek baharu bernilai RM48 juta.
Pengerusinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, keputusan itu dibuat selepas mesyuarat kali keempat tahun ini yang berlangsung di Kuching.
“Hasil mesyuarat menyaksikan sembilan daripada 15 cadangan projek dengan kos RM48,052,000 telah diluluskan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurutnya, projek diluluskan merangkumi projek pembinaan Pusat Sokongan Sosial Komuniti (CSSC) Sri Aman, Projek Rumah Burung Walit, Projek Jalan Ladang di Rumah Panjang Temiling Ibai, Bintong, Jalan Ladang Kampung Abok, Pantu dan Jalan Ladang di Rumah Panjang Jelema Gimang, Limau, Pantu.
“Projek lain melibatkan pembinaan 50 unit industri kotej di Simanggang, projek pengambilan tanah bagi Pusat Pentadbiran Baharu Pantu, projek Pusat Perkhidmatan baharu di Batu Lintang.
“Di samping itu, projek membina dataran kejat serta perlindungan tebingan sungai Tebingan Sungai Lingga,” ujarnya.
Terdahulu dicadangkan 15 projek merangkumi sektor pembangunan infrastruktur, pertanian, ekonomi dan sosial.
Rohani berkata, setakat Disember 2024, dilaporkan sebanyak tujuh projek di bawah SADA siap pelaksanaannya.
“Kampus sementara Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (Sarawak Skills) Cawangan Sri Aman, tebatan banjir di kawasan Kejamut (Pakej A, B, C dan D), pondok balai cerap Orang Utan dan pemasangan lampu isyarat di beberapa persimpangan utama sepanjang Jalan Akses Sri Aman (Q7),” jelasnya.-TVS