MIRI, 5 Dis: Peminat bola sepak tempatan teruja selepas mengetahui TVS akan menyiarkan perlawanan suku akhir Carabao Cup 2024/2025.
Kejohanan yang menampilkan pasukan terbaik Liga Perdana Inggeris (EPL) dan kelab divisyen bahawan itu sudah pasti menampilkan aksi intensiti tinggi.
Bagi Mohd Azra Ayub,45, usaha TVS menyiarkan perlawanan secara langsung merupakan inisiatif memperluaskan pendedahan kepada bola sepak antarabangsa.
“Saya rasa ini satu inisiatif yang sangat bagus daripada pihak TVS. Saya menyokong penuh usaha ini kerana ia memberikan pendedahan dan menyemarakkan lagi industri bola sepak bukan sahaja di negara kita tetapi juga di peringkat dunia,” katanya.
Pada masa sama beliau berharap TVS dapat menyiarkan perlawanan melibatkan liga tempatan.
“Saya menyeru agar pihak TVS membuat lebih banyak liputan khususnya liga tempatan.
“Jika ada peluang, saya harap TVS juga dapat menyiarkan liga di peringkat bahagian atau negeri Sarawak. Ini akan membantu memberi pendedahan lebih jelas dan menyeluruh kepada masyarakat,” ujarnya.
Bagi Alexander Jaeng, 48, siaran langsung disiarkan TVS adalah peluang keemasan bagi mereka yang tinggal di kawasan pedalaman untuk menikmati aksi bola sepak dunia.
“Sebagai anak Sarawak yang tinggal di pedalaman, saya amat mengalu-alukan program seperti ini.
“Dengan adanya siaran langsung seperti yang dirancang, kami yang tinggal di kawasan ulu dapat mengikuti perkembangan semasa dengan lebih dekat,” jelasnya.
Alexander turut berharap TVS memperluaskan fokus kepada liga tempatan.
“Liga-liga di negeri kita perlu diberi perhatian. Ini penting agar masyarakat dapat mengikuti perkembangan bola sepak negeri ini dan memberi sokongan kepada pemain-pemain tempatan,” kata Alexander.
Sementara itu, Abdul Ajis Kon, 50, melihat usaha TVS sebagai langkah strategik untuk memajukan bola sepak di Sarawak.
“Bagi saya, siaran langsung untuk Carabao Cup adalah satu langkah yang sangat baik.
“Dengan adanya siaran ini, seluruh Sarawak dan Malaysia dapat menonton perlawanan secara langsung. Inisiatif ini juga membantu membangunkan bola sepak di negeri ini,” ujarnya.
Menurutnya, bola sepak Sarawak perlu mengulangi zaman kegemilangannya.
“Kita perlu mengangkat semula kegemilangan bola sepak Sarawak seperti era Ngap Sayot. Siaran langsung Liga Malaysia penting agar masyarakat terus mengetahui perkembangan bola sepak negara dan negeri.
“Dengan sokongan yang semakin meningkat terhadap bola sepak tempatan dan antarabangsa, inisiatif TVS untuk membawa aksi Carabao Cup terus ke kaca televisyen rakyat Sarawak dilihat sebagai langkah yang tepat ke arah pembangunan sukan sekali gus merapatkan jurang antara kawasan pedalaman dan bandar,” ujarnya. -TVS