KUCHING, 5 Dis: Pembangunan projek Pelabuhan Laut Dalam Tanjung Embang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching yang baharu dirangka untuk memacu penyepaduan penyelesaian tenaga mampan di Sarawak.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr Hazland Abang Hipni berkata, penyepaduan itu penting dalam memastikan pertumbuhan Sarawak yang bersifat inovatif dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar.
“Kerjasama awam-swasta dalam memacu pembangunan Sarawak adalah begitu penting. Inisiatif pembangunan projek Pelabuhan Laut Dalam Tanjung Embang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching yang baharu merupakan projek mercu tanda yang menjadi tonggak utama di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
“Ia sekali gus bertujuan untuk melonjakkan ekonomi negeri ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.
Dr. Hazland berkata demikian sebagai menyokong inisiatif pembangunan dua projek itu seperti diumumkan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata, inisiatif tersebut sejajar dengan Pelan Hala Tuju Gas dan Pelan Hala Tuju Hidrogen Sarawak yang membayangkan usaha memanfaatkan gas asli negeri yang banyak serta teknologi hidrogen diperbaharui bagi memacu pertumbuhan ekonomi seterusnya mencapai daya saing global.
“Visi Premier menetapkan laluan yang jelas ke arah masa depan ekonomi berdaya tahan dan inklusif. Dengan memanfaatkan sumber asli Sarawak, inovasi digital dan kepakaran dalam tenaga boleh diperbaharui, kita kini menuju ke arah mencipta asas yang kukuh untuk kemakmuran jangka panjang,” tambahnya dalam kenyataan itu.
Beliau juga mengiktiraf kepentingan strategik dalam memperluas kerjasama Sarawak ke rantau ASEAN dan seterusnya.
“Projek Pelabuhan Laut Dalam Tanjung Embang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching yang baharu akan menempatkan posisi Sarawak sebagai pemain industri yang kritikal dalam rangkaian perdagangan serantau dan global.
“Perkembangan ini akan membuka peluang untuk perdagangan, pelancongan dan kerjasama antarabangsa,” jelasnya. TVS