KUCHING, 5 Dis: Seorang lelaki warga emas berusia 63 tahun ditemui dalam keadaan tertiarap tidak sedarkan diri dipercayai terjatuh di kawasan tempat letak kereta di sebuah pusat beli-belah di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Farhan Lee Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung kes itu jam 10.43 malam.
Menurutnya, bertindak atas maklumat sepasukan polis dari Balai Polis Sentral bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati individu tesebut tidak memberi respons.
“Menurut keterangan saksi, mangsa jatuh dari kawasan tempat letak kereta pusat beli-belah berkenaan.
“Pasukan perubatan yang tiba di lokasi mengesahkan mangsa meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Umum Sarawak bagi tujuan bedah siasat.
“Satu kertas siasatan Mati Mengejut (SDR) dibuka berhubung kes ini.
“Individu yang menyaksikan kejadian atau mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian boleh menghubungi pegawai penyiasat, ASP Marshall Ajin di talian 012-8088195 dan Balai Pois Sentral di talian 010-5065654 atau balai polis berhampiran,” ujarnya.-TVS