KUCHING, 5 Dis: Jumlah peruntukan bagi Unit Untuk Agama Lain (UNIFOR) untuk tahun depan akan ditentukan selepas berbincang dengan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Walaupun belum diputuskan dari segi nilai, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, memberi bayangan positif mengenainya.
“Dengan pencapaian pertambahan pendapatan negeri, kita akan bincang dengan Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
“Ada duit, kita boleh tambah peruntukan untuk UNIFOR, cuma belum tahu lagi berapa jumlahnya, yang pasti ianya positif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Apresiasi UNIFOR 2024 di Hikmah Exchange Event Centre (HEEC) pada Rabu.
Pada majlis sama, Abang Johari berkata acara sebegini turut membuktikan ketua-ketua agama daripada pelbagai latar belakang yang berbeza telah memainkan peranan positif dalam menanamkan perpaduan dan keharmonian di kalangan rakyat Sarawak.
Ujar beliau, ia penting kerana ketidakharmonian pastinya tidak akan kondusif kepada pembangunan pesat Sarawak pada masa akan datang.
“Saya berharap anda (ketua-ketua agama) akan dapat mengekalkan keharmonian ini agar Sarawak dapat maju ke hadapan, dan kita dapat membangunkan Sarawak sebagai satu wilayah yang mempunyai ekonomi berpendapatan tinggi,” katanya.
Untuk rekod, sejak penubuhan UNIFOR pada tahun 2017 hingga kini, Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan RM385 juta untuk membiayai pembinaan dan pemulihan rumah ibadat bukan Islam.
Bermula dengan RM15 juta pada 2017, jumlah itu terus meningkat setiap tahun dengan RM90 juta diperuntukkan pada 2024. – TVS