LUNDU, 5 Dis: Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom menyeru golongan muda melibatkan diri dalam pertanian pintar dan moden demi kelangsungan industri makanan.
Menurutnya, pembabitan golongan muda diperlukan dalam mengendalikan teknologi moden yang seterusnya membantu meningkatkan kualiti dan kuantiti pengeluaran.
“Misalnya, ketika ini kita mengimport 70 peratus beras daripada Vietnam dan India. Sekiranya berlaku perubahan iklim, mereka mungkin tidak dapat mengeksport beras kepada kita.
“Inilah masa kita harus usahakan sendiri untuk menampung keperluan. Ini kita panggil sebagai keterjaminan makanan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Kluster Makanan Metropolitan (MFC) Opar di sini, hari ini.
Dr Rundi turut menyeru petani tempatan agar jangan takut untuk mencuba mengadaptasi teknologi moden dan terkini dalam pertanian.
“Bagi yang ada anak, suruh mereka belajar sebab sektor pertanian ini kalau dibuat dengan bersungguh-sungguh dapat menjanjikan pendapatan yang lumayan,” ujarnya.
Tambahnya, usaha menarik minat anak muda untuk menyertai sektor pertanian harus dipergiatkan.
Sehubungan itu, beliau berkata penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi berupaya membantu memacu sektor ini selari dengan hasrat kerajaan Sarawak yang mahu menjadi pengekport makanan ke luar negara.
Mengenai MFC Opar, projek ini akan memfokuskan kepada tanaman bernilai tinggi seperti salad dan tomato dengan rumah hijau berkenaan dilengkapi bumbung yang boleh mengurangkan pancaran cahaya matahari terus ke tanaman.
Projek ini dilaksanakan dengan perkongsian teknologi dan kepakaran antara kerajaan Sarawak dan Belanda. – TVS