KUCHING, 5 Dis: Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi serta lebih 100 jemaah menunaikan solat hajat bagi mendoakan kesejahteraan mangsa banjir di Masjid Darul Hana di sini, malam ini.
Menurutnya, solat hajat ini adalah sebagai tanda sokongan, selain bertujuan untuk mendoakan keselamatan mangsa banjir di beberapa negeri di Semenanjung Malaysia.
Beliau berpesan agar mangsa banjir sentiasa berhati-hati dan mematuhi segala arahan dikeluarkan pihak berkuasa.
“Mangsa banjir perlu mengikuti maklumat pengumuman yang telah dikongsi serta disiarkan oleh jabatan-jabatan kerajaan yang berkaitan terutama dari segi aspek keselamatan keluarga masing-masing.
“Sekiranya kita dinasihatkan untuk berpindah, maka haruslah kita perlu berpindah ke pusat-pusat pemindahan sementara,” katanya ketika ditemui pemberita selesai menunaikan solat hajat.
Beliau turut menitipkan doa agar seluruh mangsa yang terlibat diberikan ketabahan dalam mendepani musibah banjir ini.
Hadir sama, Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak, Abang Borhanuddin Abang Ahmad Masuine. – TVS