KUALA LUMPUR, 5 Dis: Dewan Rakyat dimaklumkan setakat ini tiada cadangan rasmi yang dipersetujui bagi tujuan dedolarisasi untuk mengurangkan kebergantungan kepada mata wang tradisi perdagangan menggunakan dolar Amerika Syarikat (AS).
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, meskipun ia pernah dibincangkan semasa sidang mesyuarat BRICS tempoh hari, namun tiada perbincangan lanjut.
“Dalam hal ini adalah perlu supaya peranan dan hala tuju BRICS dilihat secara lebih holistik dan bukan semata-mata dilihat sebagai satu platform hanya untuk mengimbangi kuasa ekonomi negara-negara barat.
“Malaysia berpandangan, BRICS adalah satu platform yang semakin penting dalam mengetengahkan pandangan dan pendirian mengenai isu-isu ekonomi serantau melalui dialog, forum atau perbincangan yang lebih strategik secara tidak mengikat,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di sini hari ini.
Tengku Zafrul berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Young Syefura Othman (Pakatan Harapan-Bentong) yang ingin tahu pendirian Malaysia selaku rakan kongsi dalam BRICS selepas Presiden Amerika Syarikat telah mengancam untuk mengenakan 100 peratus tarif ke atas negara-negara BRICS yang sedang dalam perancangan untuk menggantikan US dollar.
Berhubung ancaman berkenaan Tengku Zafrul mengakui wujud kesalingbergantungan yang tinggi dalam hubungan perdagangan dan ekonomi di antara Malaysia dan negara kuasa ekonomi itu terutamanya dalam rantaian bekalan.
Dewan Rakyat: 23,957 pelajar di seluruh negara terjejas banjir
Sehubungan itu, Tengku Zafrul berkata, sebarang sebarang langkah mengenakan tarif 100 peratus akan hanya merugikan kedua-dua belah pihak yang saling bergantung dalam usaha untuk mencegah gangguan dalam rantaian bekalan global.
“Memandangkan dolar AS masih memainkan peranan yang besar dalam sistem kewangan dunia dan ancaman kenaikan 100 peratus tarif akan dikenakan sekiranya negara anggota BRICS meneruskan hasrat untuk membangunkan mata wang baharu, adalah penting bagi Malaysia terus memantau secara rapat sebarang perkembangan yang mungkin turut memberi kesan kepada negara.
“Penggunaan mata wang lain oleh Malaysia dalam urusan perdagangan dan pelaburan perlu dikaji dengan lebih teliti oleh kerajaan dan sebarang keputusan mengenai perkara ini hendaklah berlandaskan kepentingan negara serta selari dengan dasar-dasar semasa negara, “ katanya. – TVS