KUALA LUMPUR, 5 Dis: Pelaksanaan pelan induk tebatan banjir akan dijalankan secara berperingkat dan mengikut keutamaan berikutan kemampuan kewangan kerajaan yang terhad.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, penilaian keutamaan dalam aspek pelaksanaan projek akan diberikan kepada negeri dan kawasan yang lebih berisiko terlebih dahulu.
“Kita perlukan RM392 bilion bagi menyelesaikan masalah banjir, tetapi peruntukan kerajaan tidak sampai kepada jumlah itu.Realitinya, kemampuan kewangan kerajaan terhad,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan V Ganabatirau (Pakatan Harapan -Klang) yang ingin tahu berkenaan usaha kerajaan dalam menangani isu banjir yang terus berlarutan.
Dewan Rakyat: Tiada cadangan rasmi dipersetujui berhubung dedolarisasi – Tengku Zafrul
Mengulas lanjut, Fadillah berkata, sebanyak 365 projek tebatan banjir perlu dilaksanakan bagi tempoh 2023 sehingga 2100.
“Ia perlu dilakukan secara beperingkat, misalnya rancangan tebatan banjir Sungai Klang di Seksyen 25, Shah Alam, daerah Klang. Projek ini dilaksanakan dengan jumlah kos RM140 juta.
“Berdasarkan skop, projek ini akan mengurangkan risiko banjir melibatkan kawasan seluas 4,195.7 hektar meliputi Jalan Batu 3, Shah Alam. Seramai 192,279 orang penduduk akan mendapat manfaat,” katanya.
Dewan Rakyat: Tiada cadangan rasmi dipersetujui berhubung dedolarisasi – Tengku Zafrul
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata, bagi memastikan masalah banjir di negara ini dapat ditangani sepenuhnya, kerjasama semua pihak diperlukan bagi membantu kerajaan yang mengalami kekangan kewangan.
Dalam pada itu, Fadillah berkata, sebanyak 4,619 lokasi hotspot banjir di seluruh negara telah dikenal pasti oleh PETRA dengan tindakan awal telah diambil untuk melaksanakan kerja-kerja mitigasi.
“Kerja-kerja penyelenggaraan sistem perparitan, pembaikan, ‘retrofitting’, dan sebagainya serta sistem amaran awal dengan memastikan 534 siren amaran banjir di sungai-sungai utama berfungsi dengan baik, katanya. – TVS