KUALA LUMPUR, 5 Dis: Kesemua operasi di 114 pintu masuk negara akan diambil alih oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) mulai Januari 2026, kata Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.
Timbalan Menteri Dalam Negeri itu memberitahu Dewan Rakyat, pengoperasian AKPS akan bermula 1 Februari tahun hadapan dengan melibatkan 22 pintu masuk dengan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Rantau Panjang, Kelantan sebagai lokasi operasi rintis.
“AKPS dijangka mengambil alih operasi seluruh pintu masuk aktif negara iaitu sebanyak 114 pada Januari 2026.
“Kita (Kementerian Dalam Negeri) masih lagi dalam proses untuk meningkatkan dari segi perjawatan,” katanya pada Pertanyaan – Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (Perikatan Nasional – Kota Bharu) yang ingin tahu jumlah petugas AKPS dan kekuatan aset serta lokasi penugasan agensi berkenaan.
Shamsul Anuar menjelaskan, AKPS berperanan sebagai agensi kawalan barisan hadapan pintu-pintu sempadan negara dan pelabuhan yang bertanggungjawab untuk penugasan kawalan dan pemeriksaan secara bersepadu di pintu masuk darat, laut dan udara.
Dewan Rakyat: Kenyataan berbaur kebencian di media sosial punca perpecahan
Dalam pada itu, menjawab soalan berhubung langkah kerajaan dalam menangani isu keselamatan sempadan Malaysia-Thailand bagi membanteras kegiatan pemerdagangan manusia, penyeludupan dadah, senjata api dan barang bersubsidi, Shamsul berkata Op Taring Wawasan telah dilaksanakan secara berterusan di kawasan sempadan Kedah, Perlis dan Kelantan.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menggunakan teknologi baharu termasuk kamera kawalan sempadan yang akan dipasang di pagar dan tembok sempadan Padang Besar, Perlis manakala Pasukan Gerakan Am (PGA) juga merancang untuk menggunakan teknologi dalam risikan,” katanya.
Katanya kerajaan juga telah meluluskan pembelian unit dron yang menelan kos RM12 juta manakala radar mobile juga akan digunakan dengan kos RM7.5 juta.
“Kelulusan diperolehi menerusi Rancangan Malaysia Kedua (RMK12).
“Kedua – dua aset ini sangat penting dan sedang dalam proses pembekalan,” katanya. -TVS.