KUCHING, 5 Dis: Cabaran Muaythai Amatur Bintulu (BAMC) edisi kedua bakal kembali bermula esok, 6 hingga 7 Disember ini.
Dianjurkan oleh Persatuan Muaythai Bahagian Bintulu dengan kerjasama Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS), cabaran pada kali ini bertujuan memperkenalkan dan mengembangkan serta mencungkil bakat baru sukan muaythai di Sarawak dan di Bintulu amnya.
Presiden PMNS, Jumaat Ibrahim berkata PMNS mahu menggalakkan remaja untuk bergiat cergas dalam aktiviti sukan di samping mengurangkan gejala tidak sihat dalam kalangan remaja dengan adanya promosi secara tidak langsung di dalam perlawanan muaysport atau amatur.
“Aktiviti ini boleh menjadi pemangkin kepada kejohanan yang lebih besar pada masa akan datang yang lebih bersifat nasional di samping mencipta jenama sukan di negara seperti sukan yang lain.
“Selain itu, ia untuk meningkatkan kefahaman dan kesedaran masyarakat tentang sukan muaythai dan penjagaan kesihatan melalui aktiviti sihat,” katanya ketika dihubungi TVS pada Rabu.
Venue SUKMA XXI Sarawak, Naim Street Mall, Bintulu Paragon sekali lagi dipilih sebagai venue BAMC II yang akan menampilkan petinju-petinju amatur tempatan dari seluruh Sarawak berentap memburu gelaran.
Selain pertarungan muaysport, beberapa aktiviti lain turut diadakan bagi menjadikan penganjuran cabaran kali ini lebih bermakna.
Antaranya persembahan silat oleh Perguruan Seni Silat Gerak Hidayat yang menceritakan sejarah Bintulu dalam Flash Mob yang bertajuk ‘Metuk Ulow’.
Menurut Jumaat, tumpuan pada malam 7 Disember nanti turut terarah kepada kemunculan penggusti profesional, Azwan Serigala yang akan turun menentang pencabarnya.
“Selain dari menganjurkan kejohanan ini, kami turut menyelitkan beberapa aktiviti lain bagi mempromosi budaya, permainan asal dan adat resam yang ada di Bintulu dan sekaligus mempromosi Bintulu kepada orang luar,” tambah Jumaat. – TVS