SIBU, 5 Dis: Kecekapan dan kesungguhan Pasukan Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral berjaya menyelamatkan nyawa seorang lelaki yang hanyut hampir 12 jam di Sungai Batang Rajang.
Mangsa, 29, diselamatkan sekitar jam 4.13 pagi tadi selepas dilaporkan terjatuh ke sungai ketika memancing di Jambatan Durin semalam.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ,Zon 4 Sibu, Andy Alie berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 3.11 pagi.
Menurutnya, mangsa telah hanyut sejauh 30 kilometer dari lokasi dia terjatuh di Jambatan Durin dan berjaya bertahan dengan menggunakan beg galas sebagai pelampung untuk mengapungkan diri.
“Operasi menyelamat dimulakan sejurus pasukan tiba di lokasi kejadian di Tebingan Sibu.
“Mangsa kelihatan terkapai-kapai di tengah sungai dan kami segera menggerakkan bot penyelamat untuk membawanya ke tebing dengan selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mangsa dilaporkan terjatuh ke sungai ketika mencuci kaki selepas memancing.
Menurut mangsa, dia tidak mampu berenang ke tebing disebabkan arus deras sehingga menyebabkannya hanyut.
Mangsa yang berasal dari Kampung Salim Belalang kini berada dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Andy berkata, kes tersebut juga diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.
Operasi yang tamat pada jam 5.01 pagi turut melibatkan kerjasama agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pasukan ambulans.-TVS