RIYADH, 5 Dis: Arab Saudi pada Selasa mengumumkan lima inisiatif hijau baharu bernilai US$60 juta, sebagai tambahan kepada 86 inisiatif sedia ada dan menjadikan nilai pelaburan keseluruhan berjumlah US$188 bilion.
Lima inisiatif itu ialah menanam jutaan pokok, termasuk pokok bakau, menyemai 300 juta anak benih, mengembalikan kesuburan tanah, mengurangkan pencemaran udara dan memperbaiki kepelbagaian biologi di Arab Saudi.
Perkara itu diumumkan pada hari pertama Forum Inisiatif Hijau Arab Saudi ke-4 sempena Persidangan Pihak-Pihak ke-16 (COP16) Konvensyen Desertifikasi PBB (UNCCD) di sini yang bertemakan “Tanah Kita: Masa Depan Kita.”
Forum yang dirasmikan Menteri Tenaga Arab Saudi Putera Abdulaziz bin Salman bin Abdulaziz itu turut mengumpulkan pakar, pembuat polisi, tokoh kenamaan dan saintis pelbagai bidang tempatan dan antarabangsa, bagi membincangkan penggunaan semula tanah, pengurangan pelepasan karbon, teknologi hijau, perubahan iklim dan sebagainya.
Menurut agensi berita Arab Saudi (SPA), Riyadh menggariskan tiga tonggak asas bagi menjaga kelestarian alam sekitar berdasarkan Konvensyen Rio, iaitu pengurangan pelepasan karbon, menghalang desertifikasi (penggurunan) dan pemeliharaan ekosistem alam semula jadi.
Arab Saudi dalam usahanya mencapai matlamat Pelepasan Karbon Sifar Bersih menjelang 2060 telah meletakkan tiga objektif utama iaitu mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 278 juta tan setahun pada 2030 dengan meningkatkan sumber tenaga yang boleh diperbaharui, selain menanam 10 juta pokok di seluruh negara sekali gus mengembalikan kesuburan 74.8 juta hektar tanah, di samping memelihara dan memulihara 30 peratus daripada ekosistem daratan dan lautan, terutama spesies haiwan dan tumbuhan terancam.
Arab Saudi telah menanam lebih 100 juta pokok sejak inisiatif hijau mula diperkenalkan pada tahun 2021, selain berjaya mengembalikan kesuburan tanah seluas 118 ribu hektar. – TVS