Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Kerajaan Perdana Menteri Perancis Michel Barnier tumbang pada Rabu selepas tewas dalam undi tidak percaya di Dewan Perwakilan Nasional negara itu. Foto AFP

Ahli Parlimen Perancis gulingkan Kerajaan Barnier dalam undi tidak percaya

ByBernama

ANKARA, 5 Dis: Kerajaan Perdana Menteri Perancis Michel Barnier tumbang pada Rabu selepas tewas dalam undi tidak percaya di Dewan Perwakilan Nasional negara itu.

Sebanyak 331 ahli parlimen di Dewan Rendah Parlimen Perancis mengundi menentang kerajaan, melebihi minimum 288 undi yang diperlukan untuk menyingkirkan pentadbiran minoriti Barnier, menurut laporan Agensi Anadolu.

Ini adalah kali pertama kerajaan Perancis digulingkan melalui undi tidak percaya sejak 1962.

Pejabat Presiden Emmanuel Macron memaklumkan beliau akan berucap kepada rakyat pada petang Khamis susulan undian berkenaan, lapor media tempatan.

Menurut penyiar BFMTV yang memetik bekas menteri tidak dinamakan, Macron mahu mencalonkan perdana menteri baharu dalam tempoh 24 jam dan berharap dapat mempunyai kerajaan baharu sebelum Presiden terpilih Amerika Syarikat Donald Trump mengadakan lawatan ke Paris pada Sabtu bagi majlis pembukaan semula Katedral Notre Dame.

Semasa sesi perbahasan sebelum pengundian, Barnier berhujah bahawa usul itu “akan menjadikan segala-galanya lebih serius dan sukar.”

Beliau menegaskan keadaan kewangan awam sangat rumit dan “realiti” bajet tidak akan “hilang dengan keajaiban undi tidak percaya.”

Barnier juga menambah bahawa kerajaan pengganti tetap akan berdepan dengan realiti itu. “Hutang itu akan sentiasa ada,” tegasnya.

Agensi Anadolu melaporkan bahawa Ahli Parlimen sayap kiri France Unbowed (LFI), Mathilde Panot, memberitahu pemberita selepas pengundian bahawa hanya ada satu “penyelesaian” untuk negara itu dan menggesa Macron untuk “berundur.”

Presiden Parti Sosialis, Olivier Faure, memberitahu BFMTV bahawa ini bukanlah “penyelesaian yang baik.”

Sementara itu, Ahli Parlimen National Rally (RN) Marine Le Pen pula memberitahu penyiar TF1 bahawa beliau tidak meminta Macron meletak jawatan.

Macron berulang kali menegaskan bahawa beliau tidak merancang untuk meletak jawatan dan akan terus berkhidmat sehingga tamat penggalnya pada 2027.

Kabinet Barnier menerajui kerajaan kurang daripada tiga bulan. Beliau dilantik oleh Macron pada September selepas pilihan raya negara pada Jun dan Julai. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan