BINTULU, 5 Dis: Sebanyak 365 kenderaan diperiksa dalam Ops Khas Motosikal yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Bintulu di sini, kelmarin.
Jurucakap JPJ Sarawak berkata, operasi itu diketuai Pengarah JPJ Sarawak Norizan Jili dan diiringi Ketua Cawangan Jabatan Pengangkutan Jalan Cawangan Bintulu, Fedrick Kedo.
“Operasi yang dijalankan di sekitar bandar ini bagi memastikan kepatuhan yang tinggi terhadap peraturan dan undang- undang jalan raya.
“Selain motosikal, kenderaan lain turut diperiksa sepanjang operasi dijalankan,” katanya menerusi kenyataan.
Katanya, daripada 365 kenderaan yang diperiksa, sebanyak 95 kesalahan dikesan dan 120 notis ketidakakuran dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
“Seramai empat pegawai dan lapan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan Cawangan Bintulu dari pelbagai unit penguatkuasa terlibat dalam operasi kali ini.
“Antara kesalahan yang dikesan adalah tiada lesen memandu, lesen kenderaan motor tamat tempoh, kesalahan ubah suai motosikal dan lain-lain,” ujarnya.
JPJ menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi memastikan keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain.-TVS