LUNDU, 5 Dis: Kerajaan Sarawak bakal membangunkan 10 hektar tanah untuk rumah hijau bagi memulakan projek rintis Kluster Makanan Metropolitan (MFC) Opar.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, MFC dibangunkan dengan kerjasama dan bantuan dari Belanda melalui penggunaan teknologi terkini bagi penghasilan makanan segar serta bernilai tinggi.
“Kerjasama dengan Belanda ini menjadi satu projek rintis menerusi penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam proses menghasilkan makanan termasuk sayur-sayuran dan ternakan. Kita memilih Opar yang merangkumi kawasan dengan keluasan 80 hektar.
“Kita bangunkan 10 hektar dahulu yang mengambil masa 18 bulan untuk membangunkan rumah hijau. Saya cadangkan agar dipertingkatkan lagi bahan yang digunakan membina rumah hijau ini seperti yang digunakan di Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawa (CENTEXS),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Kluster Makanan Metropolitan (MFC) Opar hari ini.
Abang Johari menjelaskan, Keraajaan Sarawak dan pihak swasta juga akan bekerjasama menyediakan peruntukan yang dianggarkan RM80 juta.
Tambahnya, kerajaan Sarawak dan pihak swasta akan bekerjasama menyediakan peruntukkan yang dianggarkan sebanyak RM80 juta.
“Kerajaan Sarawak akan melabur RM60 juta untuk membangunkan infrastruktur termasuk bekalan air dan elektrik manakala pihak swasta akan menyediakan dana RM20 juta untuk menyediakan bahan dan teknologi,” ujarnya.
Menurutnya, teknologi yang digunakan di MFC ini akan diuruskan oleh kerajaan Sarawak dan Belanda secara bersama.
“Sekiranya ada kelemahan timbul maka ianya dapat diselesaikan melalui kerjasama pintar kedua-dua pihak.
“Kalau ianya berhasil maka pekebun kecil kita dapat menjadi rakan kongsi sekali gus menjadikan hasil tanaman dan ternakan mereka berupaya dipasarkan ke luar Malaysia termasuk Singapura,” jelasnya.
Abang Johari berkata, sekiranya projek rintis MFC Opar berjaya, maka kerajaan akan membangunkan projek sama di kawasan lain termasuk di Bebuling, Betong.
“Di Bebuling kita akan ada lapangan terbang kecil, jadi kita boleh pasarkan hasil tanaman dan ternakan ke luar negara. Ini akan meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar ( KDNK).
“Usaha ini selari dengan hasrat Kerajaan Sarawak menjadi pengeksport makanan segar ke luar negara.
“Misalnya ke Singapura, kita mesti hantar makanan setiap hari dalam keadaan segar. Selepas itu, dari Singapura boleh dipasarkan ke tempat lain melalui kargo penerbangan udara,” kata Abang Johari.
Abang Johari memaklumkan MFC Opar akan memfokuskan kepada tanaman bernilai tinggi seperti salad dan tomato dengan rumah hijau berkenaan dilengkapi bumbung yang boleh mengurangkan pancaran cahaya matahari terus ke tanaman.
Beliau turut menyeru petani tempatan mengambil peluang untuk terlibat sama dalam pertanian pintar dan menggunakan teknologi dalam sektor pertanian. – TVS