KOTA SAMARAHAN, 4 Dis: Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak komited mengorak langkah dalam memperkasakan sistem pendidikan dalam melahirkan graduan bumiputera yang profesional, berdaya saing dan cemerlang di peringkat antarabangsa.
Pro Canselor UiTM, Datuk Abdul Wahab Aziz menekankan bahawa usaha ini dicapai melalui kolaboratif erat bersama industri tempatan dan antarabangsa, termasuk program seperti Embracing Cultural Diversity: Virtual Inbound Outbound Mobility Programme antara UiTM Mukah dan Rajabhat University, Thailand.
Menurutnya, ia adalah komitmen UiTM dalam memperkasa pembangunan bumiputera profesional yang berilmu, berkemahiran dan berdaya saing.
“Fakulti Pengurusan dan Perniagaan juga telah memperoleh akreditasi daripada Premier Digital Tech Institution, Finance Accreditation Agency dan The Chartered Institute of Marketing.
“Alhamdulillah, pencapaian indeks kebolehpasaran graduan, mencatatkan hampir 90 peratus dan pencapaian ini mencerminkan bahawa bidang pengajian ini masih kekal relevan sebagai penyumbang dan pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi sejagat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sidang Pertama Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) Ke-100, UiTM Cawangan Sarawak di Kota Samarahan hari ini.

Sehubungan itu, Abdul Wahab mahu para graduan untuk terus meningkatkan kemahiran serta ilmu untuk kekal bersaing dalam arus pemodenan yang kian pantas dengan pasaran kerja yang terhad.
Beliau turut menyeru graduan untuk terus memperkasa diri dalam menghadapi persaingan global sambil menjaga nama baik universiti.
Terdahulu, majlis hari ini menyaksikan, seramai 297 graduan daripada Fakulti Pengurusan dan Perniagaan dianugerahkan ijazah sarjana muda dan diploma.
Kira-kira 1,235 graduan UiTM dianugerahkan ijazah sarjana muda dan diploma pada istiadat konvokesyen itu yang berlangsung hari ini sehingga esok (5 Disember) melibatkan empat buah sidang.
Istiadat itu juga turut menyaksikan seramai 111 orang graduan menerima Anugerah Naib Canselor (ANC) iaitu 25 graduan pada Sidang 1, 33 graduan (Sidang 2), 24 graduan (Sidang 3) dan 29 graduan pada Sidang 4.
Penganjuran konvokesyen kali ini adalah merupakan kesinambungan daripada istiadat konvokesyen ke-100 yang berlangsung pada 13 hingga 28 November lepas di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), UiTM Shah Alam dan diakhiri Dewan Al-Bukhari, UiTM Cawangan Sabah pada 11 hingga 12 Disember ini.
Bukan itu sahaja, universiti keramat bumiputera itu juga turut menyambut ulang tahun ke-25 sebagai sebuah universiti, mengukuhkan lagi peranan institusi ini dalam pembangunan negara. – TVS