LUNDU, 4 Dis: Rawatan pergigian bagi Program Pelan Strategik Mindef (PSM) Sempena 10 Tahun Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat telah dilaksanakan oleh tim pergigian diketuai Leftenan Kolonel (Dr) Mohd Hosni Mahmood dan dibantu oleh dua anggota pergigian bertempat di
Sekolah Kebangsaan (SK) Biawak, di sini.
Sel Perhubungan Raya Markas 1 Divisyen dalam kenyataan berkata, pemeriksaan dan ceramah pergigian telah dilaksanakan bagi tujuan menyampaikan maklumat kesihatan dan penjagaan kesihatan mulut kepada pengunjung program.
“Pemeriksaan pergigian telah menerima kedatangan murid-murid dan penduduk kampung sekitar seramai 66 orang melibatkan lima orang membuat cabutan gigi dan 51 pemeriksaan awal pergigian.
“Hasil usaha dan kerjasama antara anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) dan penduduk kampung, pemeriksaan pergigian, rawatan dan ceramah pergigian telah berjalan dengan lancar dan baik,” kata kenyataan itu.
Katanya, program rawatan ini merupakan salah satu usaha Jabatan Pergigian PKKAT Penrissen untuk mendekati dan mengeratkan hubungan silaturahim antara warga Tentera Darat dengan masyarakat setempat di Biawak, Lundu selain turut memberi imej positif kepada warga tentera.
Sehubungan itu, Panglima 1 Divisyen Infantri Malaysia, Mejar Jeneral Dato’ Khairul Anuar Abd Aziz merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua pegawai dan anggotanya yang berjaya melaksanakan program rawatan tersebut.
TDM akan terus komited dan sentiasa mengekalkan hubungan kerjasama yang erat dengan masyarakat.-TVS