KUCHING, 4 Dis: Sarawak kini mengukuhkan kedudukannya dalam arena ekonomi digital melalui pengintegrasian S PAY GLOBAL dengan QR DuitNow, hasil usaha sama Sarawak Multimedia Authority (SMA) dan Payments Network Malaysia (PayNet).
Kerjasama ini membolehkan rakyat Sarawak menikmati kemudahan pembayaran tanpa tunai yang lebih meluas, sejajar dengan visi negeri untuk mencapai keterangkuman digital penuh menjelang 2030.
Pengurus Besar SMA, Dato Dr. Anderson Tiong Ing Heng dalam kenyataannya pada Rabu berkata, pengguna S PAY GLOBAL kini boleh mengimbas aplikasi e-dompet lain yang menggunakan QR DuitNow, begitu juga sebaliknya.
“Ini membuka ruang kepada lebih banyak ketersambungan dan melancarkan urus niaga rakyat Sarawak, khususnya di kawasan luar bandar,” katanya selepas memberi taklimat kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia.
Beliau turut berkongsi data prestasi cemerlang S PAY GLOBAL sejak diperkenalkan pada 2017, dengan RM4.3 bilion transaksi melibatkan 118 juta pembayaran dan lebih 780,000 pengguna berdaftar serta 92,000 peniaga.
Selain itu, katanya inisiatif ini turut menyokong Pelan Tindakan Ekonomi Digital Sarawak 2030 (SDE 2030) yang bertujuan memodenkan infrastruktur kewangan negeri.
“Integrasi DuitNow dalam S PAY GLOBAL bukan sahaja mempermudah pembayaran tetapi juga memperkasakan peluang pasaran global, menjadikan Sarawak lebih kompetitif di peringkat serantau,” tambah Dato Dr. Anderson.
Sementara itu, Pengurus Besar SiliconNet Technologies Sdn. Bhd, Ts. Hii Saan Chieng, menegaskan bahawa pelancaran ciri DuitNow baharu ini mempermudah peniaga untuk menerima pembayaran secara fleksibel.
“Integrasi ini menyediakan pengalaman yang lebih lancar dan efisien untuk peniaga dan pengguna, sekali gus menggalakkan penggunaan S PAY GLOBAL secara lebih meluas,” katanya.
Senada dengan Hii Saan Chieng, Pengarah Kanan Bahagian Komersial PayNet, Azrul Fakhzan Mainor, menekankan bahawa QR DuitNow kini bersedia menyokong transaksi rentas sempadan.
“Ini akan mempercepatkan aliran perdagangan dan membuka akses kepada ekosistem pembayaran global, memberi manfaat kepada pelanggan di dalam dan luar negeri,” katanya.
Kerjasama ini membuka peluang kepada peniaga baharu untuk mendaftar dengan S PAY GLOBAL. Mereka yang berminat boleh menghubungi talian 082-224599 untuk maklumat lanjut.
Dengan langkah inovatif ini, Sarawak mengorak langkah besar ke arah ekonomi tanpa tunai, menjadikan S PAY GLOBAL sebagai platform utama bagi transformasi digital di rantau ini. -TVS