MUKAH, 4 Dis : Sarawak berpotensi menjadi peneraju industri perikanan di Malaysia berikutan limpahan sumber semula jadi dengan demografik yang strategik selain sokongan kerajaan dalam sektor berkaitan.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Muhammad Faiz Fadzil berkata, kerajaan melaksanakan pelbagai usaha selain menyediakan fasiliti berkaitan bagi membantu perkembangan sektor itu.
Usaha bersepadu itu katanya, berupaya membantu meningkatkan kualiti produk perikanan dan akses ke pasaran yang lebih besar.
“Bagaimanapun, nelayan juga memainkan peranan yang sangat penting dalam perkara ini kerana mereka berada di barisan hadapan dalam mendapatkan hasil laut.
“Minda mereka perlu berubah di samping berani menceburi diri dalam bidang yang berkaitan termasuk perniagaan hiliran,” katanya etika berucap dalam Majlis Rahmah Mesra Madani Pengerusi LKIM bersama Nelayan Persatuan Nelayan Kawasan Matu Daro, di sini, hari ini.
Beliau berkata, LKIM sentiasa komited dan terus fokus terhadap usaha menyerlahkan potensi sektor perikanan di negeri ini.
Usaha berkenaan katanya, bukan sekadar menjadikan Sarawak negeri peneraju bidang itu tetapi juga meningkatkan taraf sosio dan ekonomi kaum nelayan.
“Ini termasuklah dengan kewujudan pejabat pentadbiran Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) termasuk Matu Daro.
“Usaha ini sudah pasti mendokong aktiviti nelayan terutama dalam usaha memasarkan hasil tangkapan mereka selain membantu memperkasakan potensi sektor yang berkaitan,” katanya. – TVS