MIRI, 4 Dis: Satu pasukan kerja (taskforce) ditubuhkan dengan gabungan Jabatan Kerja Raya (JKR) Miri, Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak bahagian Miri (DID), dan Majlis Bandaraya Miri (MCC) bagi persediaan menghadapi bencana banjir di sini.
Menurut Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, ketiga-tiga agensi tersebut akan bertanggungjawab ke atas sistem perparitan di Miri.
“Satu, langkah-langkah pencegahan banjir iaitu ketiga-tiga agensi ini melalui task force mereka, mereka sekarang kerana turun dan juga membuat pemeriksaan atas semua sistem tali air di bawah jagaan mereka. Kalau ada sumbat, ada kena dibersih dan sebagainya, jadi mereka kena ambil tindakan segera mulai daripada sekarang.
“Kita tidak mahu banjir berlaku sebab parit sumbat ataupun parit tersebut ada tumbuh-tumbuhan seperti lalang dan sebagainya sehingga sumbat, khasnya parit besar. Jadi tindakan perlu diambil oleh tiga agensi ini.
“Jadi kedua, mereka juga akan memantau juga kawasan kawasan risiko tinggi misalnya untuk JKR dan juga MCC mereka juga memantau Canadian Hill. Satu kawasan risiko tinggi di mana hakisan juga akan berlaku, yang pernah berlaku dahulu, inilah yang perlu dipantau,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat berkenaan Isu Banjir di Miri, di sini hari ini.
Katanya lagi, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Miri, Subis, Marudi, Beluru dan Telang Usan juga telah menerima arahan untuk bersiap sedia menghadapi sebarang bencana.
Selain itu, untuk kawasan Pantai Lutong berdekatan dengan Taman Bayshore yang mempunyai risiko tinggi untuk dilanda ombak besar, pihak DID telah memberikan cadangan untuk segera membina benteng besar sepanjang 200 meter.
“Jadi baru baru ini nampaknya itu, benteng itu pun nampaknya telah pun atas pukulan ombak baru baru ini nampaknya sudah roboh. Jadi itu nampaknya memang tak boleh guna dah.
“Oleh sebab itu atas cadangan daripada DID Miri supaya kita dengan segera membina benteng besar menggunakan batu besar iaitu block stone.
“Anggaran kos nya RM2.2 juta. Ini untuk menggunakan batu besar untuk buat benteng, itu yang boleh tahan ombak. Ini perlu dibuat sebab bukan sahaja kita nak melindung jalan tapi juga terdapat satu kawasan kediaman Taman Bayshore yang sangat berdekatan dengan itu pantai juga yang menghadapi risiko pukulan ombak besar,” ujarnya lagi. – TVS