PUTRAJAYA, 4 Dis: Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan mengadakan pertemuan bersama Menteri Luar Australia pada Mesyuarat Tahunan antara Menteri-menteri Luar, Malaysia-Australia kali keenam di sini, hari ini.
Dalam mesyuarat itu, Mohamad dan rakan sejawatnya itu menilai status kemajuan kerjasama dua hala dan meneroka potensi kerjasama baharu merentasi pelbagai sektor, khususnya perdagangan dan pelaburan, peralihan tenaga, mineral, keselamatan siber, ekonomi digital, pendidikan, pertahanan dan keselamatan, serta kesalinghubungan antara rakyat.
“Mesyuarat ini juga adalah susulan daripada Mesyuarat Tahunan antara Pemimpin Malaysia–Australia kali kedua yang dipengerusikan secara bersama oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese di Melbourne pada awal tahun ini.
“Kami juga berbincang dan bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa, termasuk situasi di Myanmar, di Timur Tengah, serta konflik Ukraine-Russia, “ katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, rakan sejawatnya itu menyampaikan sokongan Australia terhadap Malaysia sebagai Kepengerusian ASEAN pada tahun depan.
Sebagai rakan dialog ASEAN yang pertama, Mohamad berkata, Australia kekal teguh dalam usahanya untuk memperkukuhkan hubungan kerjasama merentasi tiga tonggak Komuniti ASEAN. – TVS