MUNICH, GERMANY, 4 Dis: Bayern Munich disingkirkan daripada Piala Jerman oleh juara bertahan Bayer Leverkusen ketika gol babak kedua Nathan Tella memastikan kemenangan 1-0 untuk juara Bundesliga itu pada Selasa.
Perlawanan di Allianz Arena itu menyaksikan Manuel Neuer dilayangkan kad merah pertama sepanjang kariernya dalam 866 perlawanan selepas menjatuhkan Jeremie Frimpong di luar petak penalti pada minit ke-18.
Penjaga gol Israel, Daniel Peretz membuat penampilan sulungnya buat Bayern selepas 18 bulan menyertai kelab itu bai menggantikan Neuer.
Bayern, yang beraksi tanpa Harry Kane yang cedera berusaha mencari gol di babak pertama namun gagal menemui penyudah.
Pelawat akhirnya berjaya menembusi gawang Byern dengan Tella menanduk masuk hantaran lintang Alex Grimaldo pada minit ke-69.
Pemain sayap tuan rumah Michael Olise cuba menebus kekelahan pada minit keempat masa kecederaan tetapi Leverkusen bertahan untuk memberikan kekalahan domestik pertama buat Vincent Kompany sejak dia menjadi jurulatih Bayern.
Leverkusen kendalian Xabi Alonso dengan rekod tanpa kalah musim lalu mara ke peringkat lapan terakhir.
Bayern telah memenangi Piala Jerman dengan rekod 20 kali tetapi tidak berjaya melepasi suku akhir sejak 2020, apabila mereka mengalahkan Leverkusen 4-2 pada perlawanan akhir. -TVS