KUCHING, 4 Dis: Formula kejayaan bagi mengerak serta memastikan kelestarian sesebuah organisasi lahir daripada komitmen serta dedikasi yang tinggi warganya.
Menyedari hakikat itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Sarawak yang diterajui Dato Sri Fatimah Abdullah menganjurkan Majlis Penghargaan KPWK 2024 bagi menghargai warga KPWK di atas sumbangan mereka di sepanjang tahun 2024 ini.
“Pendekatan inklusiviti ditekankan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 Sarawak yang memberi perhatian khusus kepada aspek pembangunan holistik warga wilayah ini.
“Ini terbukti apabila KPWK Sarawak berjaya melaksanakan pelbagai insiatif di sepanjang tahun 2024, yang bukan hanya menyantuni seluruh warga Sarawak daripada pelbagai latar-belakang, malah turut memperkasakan kehidupan komuniti selari dengan visi dan misi KPWK dalam memastikan tiada rakyat wilayah ini yang tercicir daripada semua aspek sama ada dari segi pendidikan, kesihatan mahupun kebajikan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penghargaan Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Sarawak 2024 di Kuching pada Selasa.
Katanya, pihaknya amat menyedari cabaran kelangsungan hidup yang dihadapi oleh golongan rentan, terutamanya akibat peningkatan kos sara hidup, setakat Oktober 2024, sejumlah RM215 juta telah diperuntukkan kepada seramai 55,684 penerima bantuan di bawah pelbagai skim seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
“Bagi Bantuan Kesihatan Bersasar pula, sehingga Oktober 2024, sejumlah RM4.5 juta telah dibelanjakan bagi memberi manfaat kepada 110 pesakit di bawah Skim Bantuan Alat Tiruan, dan 184 pesakit di bawah Skim Bantuan Pesakit Buah Pinggang,” ujarnya.
“Dari Januari hingga Oktober 2024, Jabatan Kebajikan Masyarakat telah menyalurkan RM7.3 juta bantuan bencana kepada 153,981 mangsa,” ujarnya lagi.
Pada majlis yang sama, beliau turut menyuarakan tanda penghargaan kepada KPWK yang telah mengharum serta mengangkat nama kementerian menerusi kejayaan penglibatan pelbagai program antaranya termasuklah Anugerah Konvensyen Inovasi Perkhidmatan Awam Sarawak (SCSICA) serta keterlibatan dalam penganjuran Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) 2024, selain warga KPWK yang berpindah serta bersara.
Seramai lebih 1,000 warga KPWK dari seluruh Sarawak diraikan pada majlis yang turut dihadiri oleh Timbalan Menteri KPWK, Datuk Rosey Yunus dan Datuk Mohammad Razi Sitam serta Setiausaha Tetap KPWK, Datu Felicia Tan Ya Hua. -TVS