KOTA SAMARAHAN, 4 Dis: Inisiatif Kerajaan Sarawak melalui Yayasan Sarawak yang menawarkan laptop percuma dan baucar buku RM500 terbukti menjadi pemangkin kejayaan graduan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak.
Rata-rata graduan ketika ditemui TVS menzahirkan penghargaan masing-masing kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan mahu inisiatif itu diteruskan kepada semua anak Sarawak dalam membantu mencapai matlamat Kerajaan Sarawak dalam meningkatkan pendapatan isi rumah.
Menurut Mohd Imran Husin, graduan Diploma Pengurusan dan Teknologi Pejabat, insentif tersebut membantunya dalam membuat tugasan.
“Saya sudah menebus baucar laptop sebanyak RM3,000 dan Alhamdulillah, ia banyak membantu saya dalam menyiapkan segala tugasan diberikan kepada pensyarah-pensyarah saya dan ia secara tidak langsung meningkatkan produktiviti saya,” katanya ketika ditemui TVS di Istiadat Konvokesyen Ke-100 Universiti Teknologi MARA (UiTM) UiTM Cawangan Sarawak di sini hari ini.
Ditanya mengenai inisiatif pendidikan percuma buat anak-anak Sarawak yang melanjutkan pelajaran di universiti-universiti milik Sarawak di wilayah ini, Imran menyifatkan ia mampu meningkatkan taraf pendidikan kepada keluarga yang tidak mendapat peluang yang sama seperti golongan yang berkemampuan.
“Saya rasa itu dapat merangsangkan (pendapatan isi rumah) keluarga yang kurang berkemampuan supaya mereka yang tidak mendapat peluang yang sama itu boleh diberikan pendedahan pendidikan terutamanya kepada golongan luar bandar serta di kawasan pedalaman,” ujarnya lagi.
Senada dengannya, Izzati Nadira Mohd Yusuf yang juga graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sistem Pejabat menyifatkan insiatif itu dapat menarik nafas lega kepada keluarga yang tidak berkemampuan menghantar mereka melanjutkan pelajaran di menara gading.
“Saya amat gembira dengan inisiatif yang diperkenalkan Premier Sarawak kerana ia banyak membantu anak-anak Sarawak kerana saya mendapati, rata-rata daripada kita bukanlah daripada keluarga yang senang dan adik-adik saya pun masih melanjutkan pelajaran.
“Dengan itu, saya berpandangan insiatif ini membuka peluang yang besar kepada anak Sarawak untuk terus maju kehadapan dan seterusnya membantu Sarawak menggapai objektif yang digariskkan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030,” katanya lagi.
Terdahulu, pada Belanjawan 2024, Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM17.5 juta untuk insentif ini dan ia akan diteruskan pada 2025 dengan menyediakan komputer riba percuma kepada pelajar universiti tahun pertama daripada keluarga berpendapatan rendah.
Selain itu, menjelang 2026, Sarawak akan memperkenalkan pendidikan percuma kepada anak-anak Sarawak di universiti milik wilayah dengan fokus kepada bidang sains dan teknikal seperti di Universiti Curtin, Universiti Swinburne Kampus Sarawak, dan Universiti Teknologi Sarawak (UTS).
Inisiatif ini membuktikan komitmen Kerajaan Sarawak dalam memastikan akses pendidikan berkualiti untuk semua, sekali gus memacu pembangunan modal insan untuk kemajuan Sarawak. – TVS