KUCHING: Lebih 1,000 peserta, termasuk pelari antarabangsa menyertai IEM Run 2024 yang berlangsung di stesen pelbagai bahan api PETROS Darul Hana baru-baru ini.
Acara julung kali anjuran Institut Jurutera Malaysia (IEM) Cawangan Sarawak itu bertujuan mempromosikan gaya hidup sihat, kelestarian alam sekitar, dan perpaduan komuniti.
IEM Sarawak dalam kenyataannya memaklumkan, larian dengan tema Powering H2Community itu menekankan kepentingan tenaga hijau, terutamanya hidrogen hijau, dalam mencapai kelestarian.
Penganjurannya terbahagi kepada dua kategori 5km dan 15km yang turut diperluaskan ke Bintulu pada 8 Disember dan Sibu pada 15 Disember ini.
Inisiatif itu memperkukuhkan komitmen IEM Sarawak dalam mempromosikan kesihatan dan kesedaran alam sekitar di seluruh negeri.
Dalam kenyataan sama, IEM Sarawak turut merakamkan penghargaan kepada semua peserta, sukarelawan, dan penaja, termasuk SEDC Energy, Chemsain Engineering, I-Metal, dan American Air Filter atas sokongan mereka.
IEM Sarawak berhasrat menjadikan acara ini sebagai program tahunan untuk memperjuangkan masa depan lebih hijau dan lestari.- TVS