KOTA SAMARAHAN, 4 Dis: Graduan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak menyambut baik inisiatif Kerajaan Sarawak memberikan wang saku RM1,200 kepada semua pelajar Sarawak yang menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara.
Langkah ini dianggap sebagai bukti keprihatinan kerajaan dalam membantu meringankan beban kewangan pelajar.
Nur Syamilah Bujang Hassim, graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sistem Pejabat dari Bintulu, menyifatkan bantuan tersebut amat bermakna, terutama ketika kos sara hidup semakin meningkat.
“Saya berasa amat seronok apabila Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, mengumumkan pemberian insentif itu kepada pelajar IPT kerana jika berharap dengan pinjaman pendidikan seperti PTPTN, Yayasan Sarawak dan sebagainya tidak mencukupi.
“Sudah semestinya saya amat bangga dan berterima kasih kepada Premier Sarawak dan Insyallah, berkemungkinan saya adalah salah seorang penerimanya kerana saya kini sedang menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan (Penyelidikan),” katanya ketika ditemui TVS di Istiadat Konvokesyen Ke-100 Universiti Teknologi MARA (UiTM) UiTM Cawangan Sarawak di sini, hari ini.
Nur Syamilah turut berkata Yayasan Sarawak telah banyak membantunya yang sebelum ini pernah menerima Bantuan Kemasukan Ke IPT sebanyak RM1,000 semasa memulakan pengajian ke universiti bagi membiayai kos peringkat awalnya.
Senada dengannya, Dayang Fatihah Awang Mohammad yang juga graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sistem Pejabat turut menerima manfaat yang besar kepadanya apabila kadar pembayaran balik Biasiswa Pinjaman Pelajaran Dalam Negara dikurangkan berikutan menerima Anugerah Naib Canselor (ANC).
“Memandangkan saya menerima Anugerah Naib Canselor (ANC), saya layak membayar balik pinjaman saya dengan kadar yang lebih rendah daripada kadar yang sepatutnya saya bayar,” katanya lagi.
Bantuan wang saku RM1,200 yang dibuka kepada semua pelajar Sarawak tanpa mengira pendapatan keluarga disifatkan kerajaan yang prihatin, kata Mohd Imran Husin yang merupakan graduan Diploma Pengurusan dan Teknologi Pejabat.
Beliau menyifatkan bantuan ini sebagai penghargaan kepada pelajar Sarawak yang gigih menimba ilmu.
“Saya rasa amat bangga kerana anak-anak Sarawak yang sedang dan bakal melanjutkan pelajaran di menara gading ini seolah-olah dihargai oleh Kerajaan Sarawak dan ia secara tidak langsung menjadi pembakar semangat pelajar untuk terus berusaha dengan lebih bersungguh-sungguh kerana siapa lagi beri wang saku secara percuma?” katanya lagi.
Abang Johari sebelum ini mengumumkan bantuan wang saku tersebut akan diberikan kepada semua pelajar Sarawak tanpa mengira latar belakang pendapatan keluarga.
Langkah itu dilakukan selepas mengambil kira pandangan pelbagai pihak yang ingin memastikan bantuan ini bersifat inklusif.
Bantuan yang pertama kali diumumkan semasa penganjuran Lan Berambeh 2024 ini bertujuan menyokong pelajar sebagai aset penting kepada kemajuan Sarawak pasca pengajian mereka. – TVS