KUALA LUMPUR, 4 Dis: Program Rumah Mesra Rakyat (RMR) yang dilaksanakan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) tidak melibatkan permohonan Skim Pinjaman Rumah Panjang (SPRP) di Sarawak.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, SPNB bagaimanapun sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi memperluas akses rakyat kepada pemilikan rumah.
Menurut beliau, kerjasama berkenaan penting untuk memastikan rakyat di Sarawak memiliki tempat tinggal yang selesa dan mampu milik.
“Kerjasama ini sangat dialu-alukan untuk memenuhi keperluan perumahan rakyat, terutama bagi komuniti rumah panjang.
Dewan Rakyat: Tiada stadium baharu untuk Sukan SEA 2027, fokus tambah baik fasiliti sedia ada
“Kita komited untuk mendukung agenda ini bersama Kerajaan Negeri,” katanya pada Pertanyaan – Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Aiman Athirah menjawab pertanyaan Datuk Ali Biju (Perikatan Nasional – Saratok) yang meminta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyatakan statistik permohonan, kelulusan, dan pelaksanaan Program Bantuan Rumah Mesra Rakyat (RMR) melibatkan permohonan berkonsepkan Skim Pinjaman Rumah Panjang Sarawak, termasuk pecahan mengikut kawasan Parlimen bagi tempoh 2020 hingga 2024.
Sementara itu beliau menjelaskan, SPRP adalah program khas yang diuruskan oleh Perbadanan Pembangunan Perumahan Sarawak (HDC).
SPRP kata Aiman Athirah menyediakan pinjaman tanpa faedah untuk tempoh 25 tahun bagi pembinaan atau baik pulih rumah panjang yang uzur, dengan pembiayaan daripada Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta kerajaan negeri.
“Di bawah pelaksanaan RMR oleh SPNB, Sarawak mencatatkan 1,329 unit rumah atau 6.5 peratus daripada keseluruhan 20,328 unit RMR yang dilaksanakan di seluruh negara sejak 2020 (dan) daripada jumlah tersebut, 1,220 unit telah siap dibina dan diserahkan kepada pemohon, manakala 109 unit lagi sedang dalam pembinaan,” katanya.
Tambah beliau, kawasan yang mencatatkan bilangan tertinggi unit RMR di Sarawak ialah Sibuti sebanyak 140 unit, Kota Samarahan (116 unit) dan Mas Gading (128 unit). -TVS.