KUALA LUMPUR 4 Dis: Kawasan luar bandar di Sarawak dipilih sebagai lokasi pemasangan lampu solar yang dilaksanakan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) pada tahun depan.
Timbalan Menterinya, Datuk Rubiah Wang berkata selain Sarawak, projek berkenaan juga akan dilaksanakan di Pahang, Perak dan Johor.
Jelas beliau, di Sarawak sebanyak 1,000 unit lampu berkenaan telah diluluskan dengan memfokuskan kawasan terpencil yang mengalami kesukaran akses.
“Di Sarawak kita telah melantik kontraktor iaitu Sarawak Energy Berhad (SEB) untuk memasang lampu jalan dan di Semenanjung Malaysia masih di peringkat pemilihan kontraktor,” katanya pada Pertanyaan – Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Ir. Yusuf Abd. Wahab (Gabungan Parti Sarawak- Tanjong Manis) yang ingin tahu sama ada kementerian bercadang untuk memasang lampu solar di kawasan luar bandar bagi mengurangkan kos bil elektrik dan beban penyelenggaran.
Mengulas mengenai pemilihan lokasi pemasangan, Rubiah berkata, permohonan perlu dilakukan oleh pejabat KKDW negeri terlibat.
Kepada soalan asal Yusuf berkenaan status permohonan lampu jalan kampung di kawasannya yang telah dikemukakan pada tahun lepas, Rubiah berkata, ia telah diluluskan dan kini sedang dalam proses pemasangan.
“Sebanyak 100 unit lampu jalan telah diperuntukkan yang akan memanfaatkan 16 buah kampung di Tanjong Manis.
“Kerja-kerja pemasangan LJK ini sedang dilaksanakan secara berperingkat dan dijangka selesai pada 19 Mac 2025,” jelasnya. -TVS.