KUALA LUMPUR, 4 Dis: Sebanyak RM883.7 juta daripada peruntukan keseluruhan RM1 bilion telah diluluskan untuk projek pembangunan infrastruktur di kawasan sempadan Sarawak bagi 2023 dan 2024.
Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, peruntukan berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Januari 2023 untuk membangunkan infrastruktur keselamatan dan asas, termasuk Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), jalan rentas sempadan, serta pembangunan bandar sempadan di Sabah dan Sarawak.
“Sebanyak 17 projek di Sarawak telah diluluskan, melibatkan pelbagai kementerian.
“Antaranya, pembinaan Jalan Nanga Mujong ke Tunoh di Kapit dengan kos RM162 juta, pembangunan enam pos imbangan baharu dengan kos RM12.6 juta, serta naik taraf pos dan premis Briged Sarawak bernilai RM3.8 juta,” katanya pada Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini,
Beliau menjawab soalan Dato Sri Richard Riot Jaem (Gabungan Parti Sarawak -Serian) yang minta Menteri Ekonomi menyatakan sejauh manakah penggunaan peruntukan RM1 bilion yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri bagi menaik taraf kawasan sempadan Malaysia-Indonesia di Sarawak.
Sementara itu Hanifah Hajar turut memaklumkan setakat ini, tiga projek bernilai RM7.6 juta telah siap, manakala empat projek di bawah Kementerian Pertahanan bernilai RM47.6 juta dijangka siap pada akhir tahun ini.
“Selebihnya, 10 projek sedang dalam pelaksanaan.
“Pada 2025, sejumlah 37 projek baharu di bawah Rolling Plan 5, Rancangan Malaysia Ke-12, telah diluluskan dengan kos keseluruhan RM397 juta,” katanya.
Jelas beliau antara projek utama ialah perolehan aset kelengkapan pos sempadan bernilai RM30 juta, pembinaan landing pad dan fuel dump untuk kawalan sempadan (RM13.6 juta), serta pemasangan sistem bekalan elektrik solar di Pos Tapak Megah yang melibatkan kos sebanyak RM20 juta.
Secara keseluruhan kata beliau jumlah peruntukan untuk pembangunan sempadan Sabah-Sarawak-Kalimantan kini mencecah RM2.026 bilion, dengan RM1.23 bilion disalurkan kepada Sarawak.
“Inisiatif ini membuktikan komitmen kerajaan dalam memperkukuh infrastruktur sempadan demi kesejahteraan rakyat dan keselamatan negara,” tambah beliau. – TVS.