Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Seri Mohamad Sabu menjawab soalan berkaitan keterjaminan makanan di Dewan Rakyat hari ini. Foto, Jabatan Penerangan Malaysia.

Dewan Rakyat: KPKM laksanakan kajian semula dasar agensi untuk keterjaminan makanan negara

ByLorenzo Isaac Ak Anthony

KUALA LUMPUR, 4 Dis: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang melaksanakan kajian semula terhadap beberapa dasar dan perundangan yang mengawal selia agensi di bawah kementerian tersebut bagi memperkukuh sektor pertanian dan memastikan bekalan makanan negara terjamin.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata kajian semula itu penting bagi memastikan tatakelola yang lebih baik serta menjamin keberkesanan peranan persatuan dan pertubuhan di bawah naugannya.

“Melalui Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 atau DAN 2.0, salah satu strategi utama adalah memperkemas dan memperkukuh tadbir urus sektor agromakanan.

“Beberapa akta yang sudah lama termasuk Akta Persatuan Nelayan 1971 dan Akta Pertubuhan Peladang 1973 sedang diteliti agar ia selaras dengan perubahan landskap ekonomi, teknologi, dan cabaran semasa,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Dr Suhaili bin Abdul Rahman (Bebas – Labuan) berhubung perancangan untuk mengkaji semua dasar-dasar yang melibatkan agensi di bawah KPKM termasuk Akta Persatuan Nelayan 1971 dan Akta Pertubuhan Peladang 1973.

Tambah Mohamad, antara penambahbaikan yang dicadangkan bagi Akta Pertubuhan Peladang 1973 (Akta 109) adalah memperkasakan fungsi penguatkuasaan dan penyeliaan oleh Pendaftar, melindungi hak dan kepentingan anggota Pertubuhan Peladang dengan lebih komprehensif, serta memperluas penglibatan pelbagai peringkat bagi mewakili komposisi ahli pertubuhan.

Selain itu jelas beliau kajian semula terhadap Akta Persatuan Nelayan 1971 (Akta 44) juga sedang dijalankan.

“Cadangan penambahbaikan termasuk pengukuhan fungsi penguatkuasaan, penambahan keahlian nelayan darat, serta penguatkuasaan penubuhan Unit Nelayan di setiap persatuan nelayan,” katanya. -TVS.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan