Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Nie Ching memaklumkan, kerajaan menerusi Belanjawan 2025 telah memperuntukkan sebanyak RM30 juta untuk melaksanakan Program Belia Kreatif Komuniti MADANI. Foto: Bernama

Dewan Rakyat: Kerajaan sokong belia hasil kandungan kreatif menghiburkan, beri inspirasi kepada masyarakat

ByLorenzo Isaac Ak Anthony

KUALA LUMPUR, 4 Dis: Kementerian Komunikasi memberi galakan kepada golongan belia untuk menghasilkan kandungan kreatif yang menghiburkan, mendidik serta memberi inspirasi kepada masyarakat.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, pelbagai program telah dilaksanakan untuk menyokong usaha itu termasuk Kursus Effective Content Creator on TikTok pada September 2024 oleh Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR).

Jelas beliau, kursus itu bertujuan untuk memperkasakan pencipta kandungan dalam menghasilkan bahan yang memberi manfaat positif kepada umum.

“ IPPTAR juga dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Pertubuhan Belia Kreatif Malaysia, telah menganjurkan Bengkel Youth Content Maker Lab.

“ Bengkel ini memberi pendedahan kepada golongan belia tentang penciptaan kandungan kreatif digital, pembangunan idea, penghasilan video, dan pemasaran.

“Kita berharap bengkel ini dapat membuka peluang bagi golongan belia untuk menjadikan kerjaya dalam bidang penciptaan kandungan digital sebagai sumber pendapatan mereka,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Komander Bersara Nordin Ahmad Ismail (Perikatan Nasional-Lumut) yang ingin tahu inisiatif kementerian untuk menggalakkan pempengaruh media sosial menghasilkan kandungan positif dan memberi ganjaran kepada mereka.

Sementara itu Nie Ching memaklumkan, kerajaan menerusi Belanjawan 2025 telah memperuntukkan sebanyak RM30 juta untuk melaksanakan Program Belia Kreatif Komuniti MADANI.

“Program ini bertujuan untuk meningkatkan penerbitan kandungan kreatif yang berkualiti, terutamanya dalam bidang perfileman, di kalangan golongan belia di Malaysia.

“Ini adalah langkah penting dalam memastikan belia Malaysia tidak hanya menjadi pengguna kandungan, tetapi juga pencipta kandungan yang berkualiti,” tambahnya.

Pada masa sama beliau memberitahu, kerajaan turut menekankan kepentingan etika dalam penciptaan kandungan melalui latihan dan modul pendidikan yang disediakan oleh Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF). – TVS.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan