KUALA LUMPUR, 4 Dis: Dewan Rakyat dimaklumkan seramai 922,318 pelajar sekolah dan mahasiswa institut pengajian tinggi (IPT) dikenal pasti mengalami masalah kesihatan mental pada tahun lepas.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, pada 2019 seramai 424,000 golongan berkenaan disahkan mengalami penyakit itu.
Dewan Rakyat: Tiada stadium baharu untuk Sukan SEA 2027, fokus tambah baik fasiliti sedia ada
Kata beliau, laporan Tinjauan Kesihatan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) menunjukkan peningkatan signifikan dalam peratusan kesihatan mental yang membabitkan kanak-kanak, remaja dan belia.
“Peratusan masalah kesihatan mental dalam kalangan pelajar dan mahasiswa telah meningkat daripada 7.9 peratus pada 2019 kepada 16.5 peratus pada 2023.
“Ini merupakan angka yang sangat membimbangkan,” katanya pada Waktu Pertanyaan- Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di sini hari ini.
Lukanisman menjawab soalan Syed Ibrahim Syed Noh (Pakatan Harapan – Ledang) yang meminta Menteri Kesihatan menyatakan statistik isu kesihatan mental melibatkan golongan berkenaan dan pendekatan polisi berdasarkan bukti yang diambil kementerian untuk mengatasi masalah berkenaan.
Sementara itu beliau turut memaklumkan terdapat peningkatan tingkah laku bunuh diri dalam kalangan remaja yang direkodkan dalam tempoh 10 tahun terakhir.
“Idea bunuh diri dalam kalangan remaja meningkat daripada 7.9 peratus pada 2012 kepada 13.1 peratsu pada 2022.
“Pelan bunuh diri juga meningkat daripada 6.4 peratus pada 2012 kepada 10 peratus pada 2022. Cubaan bunuh diri turut meningkat daripada 6.8 peratus pada 2012 kepada 9.5 peratus pada 2022,” kata beliau.
Sebagai langkah proaktif Lukanisman memaklumkan KKM telah menubuhkan Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan dan memperkenalkan Pelan Tindakan Kesihatan Mental Kanak-kanak dan Remaja untuk menangani isu berkenaan secara lebih holistik.
“Selain itu, KKM juga memperkenalkan Talian HEAL 15555, iaitu talian bantuan krisis kesihatan mental yang beroperasi bagi memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan sokongan dalam menghadapi masalah kesihatan mental,” tambahnya lagi.
Di samping itu, KKM juga bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia dalam pelaksanaan Program Minda Sihat Sekolah, yang dilaksanakan di 2,456 sekolah menengah dan 7,776 sekolah rendah di seluruh negara.
“Program ini penting untuk memastikan pelajar di seluruh negara tidak hanya cemerlang dari segi akademik, tetapi juga sejahtera dari segi mental,” katanya. -TVS.