KUCHING, 4 Dis: Negeri-negeri lain wajar mencontohi inisiatif yang dilaksanakan Kerajaan Negeri Sarawak dengan mengadakan Persidangan Bajet bagi memberi pendedahan dan pemahaman mendalam kepada rakyat.
Pengamal Media, Sayed Munawar Sayed Mustar berpandangan, dalam pembentangan bajet yang diumumkan, mungkin hanya lima peratus difahami.
Beliau yang juga Moderator pada persidangan tersebut menegaskan ia penting bagi memastikan rakyat tahu dan mengerti apa yang dibentangkan kerajaan.
“Secara keseluruhan, pembentangan itu merangkumi kesemua kementerian dan perlu difahami oleh rakyat termasuk pemain industri serta agensi kerajaan dalam mengimplementasikan semua dasar-dasar dalam bajet bagi memperjelaskan kepada hadirin dan daripada penjelasan itu difahami oleh rakyat.
“Ini kerana, selalu sahaja elemen-elemen ekonomi ini akan mudah dipolitikkan dan selalu kita dengar bila dibentang bajet maka dia akan tanya saya dapat apa? Sedangkan dokumen bajet itu sebenarnya pembentangannya hanya singkat tetapi dokumen itu cukup luas,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan (Pengurusan) Unimas, Dr. Aila Abdul Latif berpendapat, persidangan seperti ini sebenarnya memberikan maklum balas dan fahaman yang lebih tinggi kepada masyarakat.
“Masyarakat khususnya dapat mengetahui bagaimana ketulusan dan keutamaan dasar dari segi perbelanjaan itu diperincikan untuk memastikan pembangunan seperti infrastruktur, ekonomi dan sosial itu dibuat secara menyeluruh.
“Persidangan seperti ini wajar untuk diadakan kerana pastinya penggubal dasar dapat diperincikan tetapi kalau kita tidak ada sesi kebersamaan atau maklum balas seperti ini mungkin ianya kurang mendapat sambutan,” katanya.

Manakala, Pensyarah Kanan (Pemasaran) Unimas, Dr. Janifer Lunyai pula berpendapat, beliau mendapat banyak ilmu baharu hasil daripada persidangan dua hari itu.
“Persidangan Bajet Sarawak ini sangat mendapat banyak maklumat terutamanya daripada panel dan juga penceramah jemputan.
“Saya rasa persidangan seperti ini harus dianjurkan dan dijadikan sebagai acara tahunan terutamanya di Sarawak,” katanya.
Persidangan Bajet Sarawak 2025 yang julung kalinya diadakan itu disempurnakan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Selasa.
Dianggarkan lebih 1,000 peserta menyertai persidangan yang diadakan selama dua hari pada 3 dan 4 Disember di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), Sarawak. – TVS