MIRI, 3 Dis: Seorang suri rumah di sini, kerugian RM130,000 selepas terpedaya dengan kes penipuan kerja sambilan.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Mancha Ata berkata, mangsa berusia 50-an semasa berada di rumah melayari laman sosial TikTok dan tertarik dengan iklan kerja sambilan pada awal November 2024.
“Mangsa bertindak menghubungi seorang individu yang tidak dikenali yang berperanan sebagai ejen melalui aplikasi TikTok.
“Seterusnya mangsa dimasukkan ke dalam group Telegram,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kemudian suspek memaklumkan mangsa telah menerima komisen di aplikasi digital milik mangsa.
“Mangsa turut diberikan mempromosikan produk satu syarikat jenama pakaian.
“Mangsa yang terpedaya melakukan beberapa transaksi wang secara berperingkat ke dalam akaun bank yang diberikan suspek berjumlah RM130,000,” katanya.
Katanya, mangsa telah menyedari dirinya ditipu apabila masih diminta membuat pembayaran lain sekiranya ingin mengeluarkan komisen tersebut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.-TVS