BAITULMAQDIS, 3 Dis: Sembilan orang terbunuh dalam serangan Israel ke atas perkampungan di selatan Lubnan pada Isnin, selepas Israel menyatakan ia menyasarkan puluhan sasaran pejuang Hizbullah sebagai tindak balas terhadap serangan yang didakwa dilakukan pejuang itu di tengah-tengah gencatan senjata yang rapuh.
Israel dan pejuang Hizbullah sama-sama berdepan dakwaan pada Isnin kerana melanggar gencatan senjata yang berkuat kuasa pada Rabu lepas bagi menamatkan perang yang telah meragut ribuan nyawa di Lubnan dan menyebabkan perpindahan besar-besaran di kedua-dua belah sempadan.
Tentera Israel dalam satu kenyataan berkata mereka sudah menyerang pejuang Hizbullah, puluhan pelancar dan infrastruktur kumpulan itu di seluruh Lubnan.
“Israel menuntut pihak-pihak berkepentingan di Lubnan untuk memenuhi tanggungjawab mereka dan menghalang aktiviti permusuhan Hizbullah,” tambah kenyataan itu.
Kementerian Kesihatan Lebanon melaporkan serangan itu membunuh lima orang dan mencederakan dua lagi di kampung Haris ‘dalam penilaian awal’, manakala di kampung Tallous, empat lagi terbunuh dan seorang cedera.
Terdahulu, pejuang Hizbullah mendakwa ia telah melancarkan serangan ke atas kedudukan Israel di bukit yang diduduki, Kfar Shouba yang terletak di kawasan sempadan pertikaian antara Israel dan Lubnan.
Tentera Israel menyatakan pejuang Hizbullah telah melancarkan dua peluru berpandu ke arah salah satu posnya di kawasan Har Dov, istilah Israel untuk Ladang Shebaa yang terbabit dalam pertikaian.
Susulan serangan itu, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menuduh pejuang Hizbullah melakukan pelanggaran serius dan berjanji untuk bertindak balas.
“Kami bertekad untuk mempertahankan gencatan senjata dan bertindak balas terhadap sebarang pelanggaran oleh Hizbullah, tidak kira kecil atau serius,” katanya.