KUCHING, 3 Dis: Kerajaan Sarawak telah berjaya meningkatkan pendapatan daripada RM5 bilion pada tahun 2020 kepada RM14 bilion pada tahun 2024 menerusi Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, dengan kejayaan fasa pertama PCDS 2030, Sarawak bersedia untuk meningkatkan pelaburan sehingga RM100 bilion dalam tempoh 2025 hingga 2030 bagi melaksanakan dua projek utama, iaitu pelabuhan laut dalam dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.
“Dengan pelaburan ini, kita akan membina pelabuhan laut dalam di Tanjung Embang dengan konsep seperti di Shanghai, termasuk terminal minyak dan gas. Ini akan membuka akses ke Samarahan apabila Jambatan Sejingkat siap. Selain itu, Lapangan Terbang Antarabangsa baharu akan mewujudkan ekosistem pelancongan dan perniagaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Belanjawan Sarawak 2025 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini.
Tambahnya, lapangan terbang baharu tersebut itu nanti mampu menampung sehingga 15 juta penumpang setiap tahun.
Pada masa sama, beliau turut memaklumkan kos pembinaan infrastruktur seperti jalan persisiran, jalan utama, bekalan elektrik dan air mencecah lebih RM20 bilion dan semua projek ini dijangka selesai menjelang 2027.
Dengan penglibatan sektor awam dan swasta, beliau optimis Sarawak akan berjaya menjadi sebuah negeri maju dan makmur menjelang 2030. -TVS