MIRI, 3 Dis: Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 yang menekankan Sarawak sebagai wilayah lestari, inovatif dan makmur memerlukan penyelesaian menerusi penyelidikan dalam pelbagai bidang.
Sehubungan itu, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata Kolokium Penyelidikan Pascasiswazah Konsortium Universiti Universitas Borneo (KUUB) adalah landasan yang tepat bagi memajukan penyelidikan dan inovasi di Borneo.
“Dengan menggalakkan kerjasama antara institusi ahli KUUB, kita dapat memperkukuh keupayaan universiti untuk menyumbang kepada matlamat ini,” katanya ketika berucap merasmikan kolokium berkenaan di sini, hari ini.
Dr Annuar turut menekankan kolokium ini berpotensi membuka peluang kemajuan dalam menangani cabaran perubahan iklim, keselamatan makanan dan inovasi teknologi, memberikan impak positif kepada Borneo dan komuniti ASEAN secara keseluruhan.
“Kerajaan Sarawak komited menyokong penyelidikan dan inovasi. Pelaburan kami dalam pendidikan, pembangunan bakat, dan infrastruktur penyelidikan membuktikan keyakinan bahawa semua ini adalah asas kepada masa depan yang mampan dan makmur.
“Acara seperti kolokium ini amat penting untuk memupuk generasi penyelidik serta pemimpin pemikiran yang akan memacu visi ini ke hadapan,” tambahnya.
Bertemakan ‘Mengubah Borneo Menjadi Paksi Kelestarian Global’, kolokium ini diadakan bermula 3 hingga 5 Disember.
Kolokium ini menghimpunkan penyelidik pascasiswazah dari lebih 10 universiti ahli KUUB yang membentangkan hasil penyelidikan dalam bidang biodiversiti, tenaga boleh diperbaharui, teknologi dan pemeliharaan alam sekitar. – TVS