KUCHING, 3 Dis: Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sarawak dijangka berkembang melebihi lima peratus pada 2025 yang didorong oleh pelaburan dalam infrastruktur dan teknologi hijau.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata dengan jangkaan unjuran positif, Belanjawan Sarawak 2025 berjumlah RM15.8 bilion dirangka dengan memfokuskan kepada lapan teras strategik untuk memastikan pertumbuhan ekonomi mampan.
Jelasnya teras pertama dalam belanjawan tersebut adalah transformasi kepelbagaian ekonomi untuk memastikan kemakmuran berterusan.
“Inti pati kepada visi ini ialah transformasi dan kepelbagaian ekonomi, di mana pelaburan besar dalam pertanian, pembuatan dan industri bernilai tinggi akan memastikan sekuriti makanan, penyaraan diri dan kedudukan Sarawak sebagai hab untuk sektor pembuatan dan teknologi terkini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Belanjawan Sarawak 2025 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini.
Abang Johari menambah, antara teras strategik lain adalah menjadikan Sarawak destinasi pelaburan utama, memperkukuh pembangunan bakat dan pendidikan, serta mempercepatkan transformasi digital.
“Belanjawan ini mempercepatkan transformasi digital melalui projek di bawah Pelan Tindakan Ekonomi Digital Sarawak 2030 yang disokong oleh pelaburan RM470 juta dalam inisiatif utama seperti Pusat Operasi Bersepadu Sarawak dan menara SMART bagi meningkatkan ketersambungan dan memacu inovasi digital,” ujarnya.
Selain itu mempromosikan kebudayaan, sukan, dan belia, serta memperkukuh kelestarian alam sekitar.
Abang Johari turut menekankan pelaburan dalam tadbir urus digital, keselamatan siber, dan pembangunan bakat kakitangan awam bagi memastikan tadbir urus yang kompeten.
“Inisiatif ini dilengkapi dengan dorongan strategik untuk inovasi dan penyelidikan, disokong oleh RM150 juta untuk Pusat Penyakit Berjangkit (SIDC) dan RM135 juta untuk Pusat Sains Sarawak,” katanya.
Terdahulu, Abang Johari menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MOU) di antara SALIHIN dan Sarawak Centre of Performance Excellence (SCOPE) yang bertujuan memperkukuh pembangunan modal insan, memupuk transformasi digital dan kedudukan mampan serta kecemerlangan Sarawak dalam inovasi. – TVS