JAKARTA, 3 Dis: Tentera Laut Indonesia memintas perjalanan sekurang-kurangnya 17 pekerja migran Indonesia dan 24 rakyat Bangladesh ketika cuba diseludup ke Malaysia di Pantai Dumai, Wilayah Riau.
Satu operasi bersama oleh pasukan Respons Pantas Armada Satu daripada Pangkalan Tentera Laut Dumai dan Pemerintahan Armada Pertama berjaya menggagalkan cubaan penyeludupan di Pantai Pelintung, Medang Kampai.
Operasi membawa kepada penahanan dua lelaki, dikenali sebagai YN, 43, dari Bangkinang dan BH, 39, dari Dumai yang disyaki terbabit dalam penyeludupan manusia, menurut kenyataan Tentera Laut Indonesia pada Isnin.
âSuspek diserahkan kepada Polis Dumai untuk proses undang-undang selanjutnya, manakala pekerja migran dibawa ke Pos Perkhidmatan Perlindungan Pekerja Migran Indonesia (P4MI) Dumai dan Pejabat Imigresen Dumai untuk pendaftaran dan tindakan seterusnya,â menurut jurucakap Pangkalan Tentera Laut Dumai, Leftenan Kolonel Priatno.
Beliau berkata operasi itu dijalankan berdasarkan risikan mengenai laluan penyeludupan yang dirancang dari Dumai ke Malaysia, dengan unit laut mengesan bot suspek manakala unit darat mengenal pasti sebuah kenderaan serba guna yang membawa pekerja migran.
Sementara itu, Ketua Turus Tentera Laut Indonesia Laksamana Muhammad Ali menggesa semua anggotanya untuk meningkatkan kewaspadaan dan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang aktiviti haram di perairan wilayah Indonesia.