KUALA LUMPUR, 3 Dis: Kerajaan telah meluluskan pelaburan berjumlah RM489.5 bilion meliputi sektor perkilangan, perkhidmatan dan sektor utama sepanjang 2023 hingga Jun 2024.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong berkata, daripada jumlah itu, pelaburan asing mencatatkan sebanyak RM262.9 bilion atau 53.7 peratus manakala baki RM226.5 bilion merupakan pelaburan domestik.
Peruntukan RM7.89 bilion diperlukan untuk sektor kesihatan Sarawak – Pele Peter
“Pulau Pinang merekodkan pelaburan asing tertinggi dengan jumlah RM65.97 bilion, diikuti Kedah (RM54.90 bilion) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM43.79 bilion), Johor (RM38.97 bilion ) dan Selangor (RM29.89 juta),” katanya pada Waktu Pertanyaan – Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Chin Tong menjawab soalan Chong Chieng Jen (Pakatan Harapan -Stampin) yang meminta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri menyatakan jumlah pelaburan asing langsung yang diluluskan setakat ini dan angka terperinci mengikut negeri.
Tambah beliau, kerajaan melalui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) terus berusaha menarik pelaburan berkualiti tinggi.
“Langkah ini bertujuan memastikan manfaat ekonomi, peluang perniagaan dan pekerjaan berkemahiran tinggi dapat dinikmati oleh rakyat dan negara,” katanya. -TVS.