KUALA LUMPUR, 3 Dis: Pihak berkuasa berjaya merampas diesel bersubsidi bernilai RM47 juta yang diseleweng bagi tempoh Januari 2022 hingga Oktober lalu.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Ali berkata, Semenanjung Malaysia mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 1,617.
Dewan Rakyat: Portal SemakMule berjaya sekat jenayah komersial – PM
“Bagi Sarawak, terdapat sebanyak 421 kes, manakala Sabah mencatatkan 141 kes dan Wilayah Persekutuan Labuan merekodkan 11 kes dengan nilai rampasan keseluruhan sebanyak RM47 juta,” katanya pada Waktu Pertanyaan – Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Armizan menjawab soalan Datuk Rosul Wahid (Perikatan Nasional -Hulu Terengganu) yang meminta penjelasan mengenai jumlah tangkapan dan rampasan berkaitan penyelewengan subsidi diesel di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak sejak tahun lalu.
Tambah Armizan, antara punca utama yang mendorong aktiviti penyelewengan diesel bersubsidi adalah kerana permintaan tinggi oleh sektor industri, penyeludupan ke luar negara, serta harga diesel bersubsidi yang ditetapkan kerajaan secara pukal.
“Jumlah kes ini menunjukkan bahawa Semenanjung Malaysia kekal menjadi lokasi utama bagi aktiviti penyelewengan diesel bersubsidi.
“Bagi menangani masalah ini, pelbagai operasi penguatkuasaan telah dilaksanakan oleh KPDN,” katanya. -TVS.