KUALA LUMPUR, 3 Dis: Jumlah taburan hujan luar biasa bagi tempoh lima hari yang menyamai taburan selama enam bulan di Kelantan dan Terengganu menjadi punca banjir besar di Pantai Timur.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, di Kelantan taburan hujan yang direkodkan pada 26 hingga 30 November oleh stesen Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Tanah Merah dan Tumpat mencecah 1, 167 milimeter (mm).
Kata beliau, rekod taburan hujan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pula sebanyak 1,442 mm yang juga terlalu tinggi.
“Di Terengganu, rekod MetMalaysia di Besut (taburan hujan sebanyak) 1,761 mm dalam tempoh lima hari berbanding purata sebanyak 1,439 mm, itu kadar hujan lebih enam bulan ,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Dewan Rakyat: Bantuan segera kerosakan banjir hampir RM1 bilion – PM Anwar
Beliau menjawab soalan Datuk Mumtaz Md Nawi (Perikatan Nasional-Tumpat) yang meminta Perdana Menteri menyatakan adakah Dasar Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan (DRR) akan dipercepatkan untuk membolehkan projek mega fasiliti mitigasi banjir disegerakan termasuk Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT3).
Sementara itu Anwar memaklumkan, beberapa projek tebatan banjir sedang dilaksanakan di Kelantan dan Terengganu dengan projek fasa satu di Tumpat dan sebahagian Pasir Mas telah 70 peratus siap.
“Ikut unjuran projek itu dijangka akan siap pada awal 2026 tetapi kita minta dipercepatkan fasa dua melibarkan Rantau Panjang dan sebahagian Pasir Mas pula baharu dimulakan.
“Bagi fasa tiga melibatkan Tumpat, Tanah Merah dan Pasir Mas, itu empat peratus siap tapi fasa satu Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Kelantan sudah hampir siap fasa 98 peratus, maknanya awal tahun depan iaitu Januari (atau) Februari sudah siap dan dipantau oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA),” katanya.
Pada masa sama Perdana Menteri memaklumkan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Kemasik di Terengganu sudah 91.8 peratus siap dan dijangka akan beroperasi pada akhir Januari tahun depan.
Kepada soalan tambahan Ir. Yusuf Abd Wahab (Gabungan Parti Sarawak – Tanjong Manis) yang ingin tahu pendekatan kerajaan menghadapi banjir tahunan, Anwar berkata, Malaysia akan terus melaksanakan projek tebatan banjir walaupun menelan perbelanjaan tinggi mencecah RM15 bilion.
“Soalan memang penting tapi rumit nak jawab kerana tidak ada negara yang boleh pastikan tak berlaku banjir kerana seluruh kecanggihan teknologi (seperti yang dimiliki) China, Amerika Syarikat dan Eropah masih tidak dapat kawal tapi ikhtiar kita harus ada.
“Untuk projek tebatan banjir, kerajaan laksanakan secara menyeluruh termasuk di Sabah dan Sarawak (namun jumlah) RM15 bilion itu tidak mencukupi,” katanya. -TVS.