KUALA LUMPUR, 3 Dis: Bantuan segera untuk membaiki kerosakan akibat banjir yang melanda sembilan negeri mencecah hampir RM1 bilion, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, kerajaan akan memberi keutamaan untuk membaiki sekolah, hospital dan jalan raya yang rosak.
Jelas Anwar, kerajaan juga akan mempertimbangkan bantuan kepada mangsa banjir yang kediaman mereka musnah sepenuhnya.
“(Namun) saya tidak boleh pengakuan (bantuan kepada mangsa banjir rumah rosak sepenuhnya) secara spesifik, bantuan segera hanya satu bilion, kita masih tunggu secara teliti.
“Keseluruhan sekarang (keadaan banjir) nampak reda sedikit di Kelantan dan Terengganu tapi banjir mara (merebak) di Pahang (dan) diunjurkan di Johor juga akan terkesan,” katanya pada Waktu Pertanyaan- Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mumtaz Md Nawi (Perikatan Nasional – Tumpat) yang ingin tahu jaminan kerajaan sama ada mangsa banjir yang keseluruhan rumah mereka ditenggelami banjir akan diberi bantuan oleh kerajaan.
Mengulas lanjut, Anwar berkata keutamaan akan diberikan untuk membaiki jalan rosak manakala langkah menaik taraf jalan negeri menjadi jalan persekutuan bagi mengatasi banjir memerlukan laporan lanjut daripada Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).
Sementara itu beliau turut meminta semua pihak terus berwaspada berikutan ramalan hujan lebat dalam waktu terdekat.
“Minggu depan (pada) 8 dan 9 Disember harus lebih waspada kerana ada gambaran hujan akan lebat,”katanya. -TVS.